Assalammualaikum & Hai Kau orang

Kali ni nak kongsi dengan kau orang pula Proses Pendaftaran Buku Pink yang Ju lalui selepas sah hamil. Apa itu Buku Pink ? Buku ni adalah Rekod Kesihatan Ibu yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berwarna merah jambu tapi paling glam dengan panggilan Buku Pink dan buku kedua pula berwarna Putih. Seorang ibu yang sah hamil akan didaftarkan dua buku dengan maklumat yang sama, Pink untuk salinan Jururawat dan Putih untuk rekod penyimpanan ibu. Buku ni si ibu perlu bawa setiap kali buat checkup bulanan. 

**Proses berkemungkinan berbeza mengikut kawasan/negeri**


Kepada para ibu lagi-lagi "First Time Parent", Ju nasihatkan bila tahu sahaja diri hamil, sebolehnya terus urus temujanji untuk daftar Buku Pink dengan KKM menerusi panggilan telefon atau dalam talian mengikut proses yang disediakan sesuai dengan keadaan semasa. Tak perlu dengar kata orang jika :

  • "Masih awal lagi lah, nda payah la buat dulu tu"
  • "Baby masih kecil tu, scan pun belum nampak. Awal masih mau daftar buku"
  • "Saya dulu 3 bulan baru daftar buku, ok saja pun. Kau cakap saja nda tau sendiri mengandung"

Para ibu sekalian, tak perlu dengar kata orang untuk bab macam ni. Dengar dari pihak yang lebih diyakini iaitu Doktor. Doktor pun akan beri nasihat untuk buat pendaftaran secepat mungkin usai peroleh hasil imbasan ultrasound. Kita bukan dalam pertandingan untuk tengok lambat buat pendaftaran pun, kandungan elok saja membesar ikut umur. Kita bawa nyawa dalam rahim dan bila dapat keputusan ultrasound, nampak ada si kecil dalam tu, lakukan pendaftaran Buku Pink seawal mungkin.

Apa Perlu Saya Sediakan untuk proses Pendaftaran Buku Pink ?

  • 1 keping Gambar ultrasound
  • 2 keping Salinan Kad Pengenalan Suami dan Isteri 
  • 2 keping Salinan Sijil Kahwin
  • 2 keping gambar berukuran passport Suami
  • 2 keping gambar berukuran passport Isteri
Proses berkemungkinan berbeza mengikut kawasan atau negeri. Ju mendaftar di Klinik Kesihatan Taman Ketiau, Putatan Kota Kinabalu setelah memperoleh gambar imbasan ultrasound yang dilakukan di klinik swasta. Pendaftaran di KKM Taman Ketiau perlulah melalui temujanji terlebih dahulu dan mereka ada hari tertentu saja untuk pendaftaran buku pink. Daftar seawal boleh untuk mengelakkan keadaan yang tidak diingini dan bagi memperoleh bekalan ubat juga dari KKM untuk ibu dan si kecil yang sedang membesar dalam rahim iaitu Asid Folik, Iron Tablet, B complex dan Ascorbic Acid

Berbanding waktu Ju sebelum ni pada tahun 2019, proses Pendaftaran Buku Pink dengan keadaan semasa sekarang; era Covid19 yang tak tahu bila ada kesudahannya . "First Time Parent" kena buat temujanji dalam talian untuk daftar Buku Pink dan masa nak jumpa Doktor pertama kali pun nanti, kandungan dah cecah 3 - 4 bulan. Apa perlu ibu lakukan sepanjang tu tanpa ada bekalan ubat nutrisi untuk si ibu dan si kecil dalam rahim ? 

Berdasarkan pengalaman Ju, dapatkan tablet Obimin di farmasi (rujuk bantuan pihak Farmasi yang bertugas) sementara menunggu masa untuk jumpa Jururawat bagi pendaftaran kali pertama Buku Pink. Begitu juga keadaannya kalau vitamin yang dibekalkan oleh jururawat dah habis sebelum sempat jumpa mereka untuk temujanji berikutnya. Tapi kes macam ni jarang berlaku sebab jururawat bertugas akan beri vitamin dengan jumlah secukupnya kepada ibu. Pernah sekali jadi dekat Ju sendiri, Ju cuma pilih untuk topup vitamin tu dari farmasi. Sebab malas nak hadap barisan panjang hanya semata nak topup vitamin bukan pada masa temujanji bulanan ikut pada buku pink tu haha. Beza dapatkan dekat farmasi luar perlukan pembayaran berbanding KKM yang menyediakan semua vitamin secara PERCUMA kepada ibu hamil

**Pengambilan/Pemberian ubat berkemungkinan berbeza mengikut keadaan ibu serta kawasan/negeri**


Obimin Dan Asid Folic

Usai Pendaftaran Buku Pink dengan KKM, ibu hamil akan diberikan 4 jenis vitamin iaitu Asid Folik, Iron Tablet, B complex dan Ascorbic Acid. Trimester pertama, Ju alami loya tapi tidak seteruk segelintir ibu-ibu hamil yang lain. Alhamdulillah. Bagi 4 jenis vitamin ni, Ju terasa loya tiap kali terhidu bau iron tablet tapi masih boleh paksa telan dengan guna kaedah tutup saluran hidung untuk elak hidu bau tengik iron tablet. 

Terdapat segelintir ibu hamil, walau dah telan vitamin yang diberikan tetap akan termuntah balik . Begitu lah ujian ibu hamil yang berbeza-beza. Bagi kes seperti ni, Jururawat KKM akan tukarkan 4 jenis Vitamin tadi kepada Obimin. Obimin mengandungi asid folik, Vitamin B6/B12, Zat besi, iodin, Vitamin B kompleks, Kalsium, Vitamin D, Vitamin A dan C dalam sebiji tablet. Bukan sahaja sesuai kepada ibu hamil malah ibu menyusukan anak juga. 


Buku Pink Rekod Kesihatan Ibu umpama Kad Pengenalan kedua Ibu Hamil

Waktu Ju daftar buku pink dulu, Jururawat selalu pesan lagi-lagi masa dekat due; pastikan sentiasa bawa Buku Pink bersama kalau keluar ke mana-mana kerana buku pink seperti kad pengenalan kedua bagi ibu hamil. Sekiranya berlaku sesuatu yang tidak di ingini, pihak berwajib seperti hospital mudah rujuk rekod kesihatan ibu dan bayi menerusi buku pink tadi. Buku ni pun semakin lama akan semakin tebal dengan keratan-keratan checkup, Jururawat tak bagi Ju balut buku ni untuk elak rosak atas sebab jika ada emergency nak tukar maklmuat atau label depan buku tu, leceh lagi nak buka plastik bagai. 

Huh, Ju pula jenis tak boleh tengok apa pun simpanan Ju nampak tak kemas lagi-lagi buku penting macam ni. So, apa yang Ju buat adalah beli file holder dekat MR DIY yang cun saiz dengan Buku Rekod Kesihatan Ju kemudian segala jenis keratan checkup yang tidak dikepilkan dalam buku tapi masih perlu sebagai rujukan, Ju letak dalam file divider tu siap bagi label sekali. Mudah Ju nak rujuk bila Jururawat minta.






Bagaimana proses daftar buku Pink jika Ibu Hamil memilih untuk lanjutkan pemeriksaan dengan Klinik atau Hospital Swasta ?

Faham dengan kebimbangan "First Time Parent" ada yang memilih untuk buat pemeriksaan bulanan di klinik swasta berbanding KKM atas sebab tertentu seperti kesesakan di Klinik KKM, barisan yang panjang, atau faktor privasi. Bagi Ju benda macam ni takda masalah, dari yang Ju tahu kerana bertanya dengan pihak KKM semasa hamil sebelum ni; bergantung pada ibu tetapi hendaklah pastikan berdaftar  terlebih dahulu dengan KKM walau anda merancang untuk dapatkan pemeriksaan bulanan dan memilih proses kelahiran dengan Klinik atau Hospital Swasta. Dapatkan nasihat Jururawat atau Doktor untuk maklumat lebih lanjut. Prosedur mungkin berbeza ikut kawasan/negeri mengikut keadaan semasa.

4 ulasan:

  1. Nice sharing.. boleh bantu ibu2 yg pertama kali nk buka buku pink nie

    BalasPadam
  2. Alhamdulillah..seronok dengar pengalaman orang mengandung ada buku pink semua ni :)

    BalasPadam
  3. wah terima kasih atas info. jemput ke laman web
    Buku Pink

    BalasPadam