Monday, 23 January 2017

Konsert Batal : Anuar Zain Tidak Dibenarkan Bercakap 3 Minggu


Kuala Lumpur: Penyanyi Anuar Zain dilaporkan masih belum pulih selepas kehilangan suara hingga terpaksa membatalkan konsert Anuar Zain & You - By The Lake di Panggung Anniversari, di sini, malam tadi.
Pengurusnya, Nana Ahmad berkata, doktor tidak membenarkan Anuar, 47, bercakap sekurang-kurang bagi tempoh tiga minggu untuk mengembalikan semula suaranya.
Nana berkata, Anuar mula mengadu mengalami masalah suara sejak pagi Jumaat lalu ketika sesi temu-bual di stesen radio.
"Ketika sesi terakhir latihan dijalankan pada Rabu lalu, dia tidak mengalami sebarang masalah sehinggalah pada pagi Jumaat dia mengadu suaranya mula serak dan berasa tiada selesa. Kami fikir ia hanya simptom biasa apabila bangun awal pagi tetapi keadaannya bertambah teruk pada sebelah petang.
"Saya membawanya bertemu dua doktor pakar dan mereka memaklumkan kotak suaranya tidak mengalami sebarang pendarahan cuma dia kehilangan suara.
"Disebabkan itu, doktor terpaksa mengeluarkan surat rasmi meminta Anuar untuk berehat dan tidak melakukan sebarang aktiviti kerana bimbang suaranya akan bertambah teruk.
"Justeru atas nasihat doktor, saya dan pihak penganjur Yonder Music terpaksa membuat keputusan drastik untuk membatalkan konsert berkenaan disebabkan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan," katanya.

Image result for anuar zain terkini 2017

Nana berkata, buat masa ini doktor menyarankan penyanyi itu untuk berehat selain tidak dibenarkan bercakap.
“Anuar kini dalam pemantauan doktor. Dia tidak dibenarkan bercakap dengan sesiapa buat masa ini kerana apabila dia mengeluarkan suara dia terpaksa meneran.
"Anuar memang bimbang dengan keadaannya kini tetapi dia berterima kasih kepada peminat dan orang ramai yang tidak putus mendoakan kesihatannya di laman sosial sehingga ada yang sanggup menghantar bunga dan buah-buahan," katanya.
Ditanya adakah konsert berkenaan akan ditunda ke tarikh lain atau dibatalkan, Nana enggan mengulas.
"Sebenarnya berita ini sangat mengejutkan bagi kedua-dua pihak kerana kami tidak menyangka perkara ini akan berlaku. Bagaimanapun apa yang berlaku di luar kuasa kami.
"Justeru, segala keputusan terletak kepada pihak penganjur. Namun bagi pihak Anuar Zain Network fokus utama kami adalah memastikan keadaan kesihatan Anuar beransur pulih. Jadi kami tidak mahu memberikan sebarang kenyataan mengenai konsert.
"Namun apa yang boleh saya katakan, kita tunggu sahaja keputusan selepas kami duduk berbincang dengan pihak penaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2017 @ 2:36 PM
Kredit : www.hmetro.com.my

Nota Jejari "Semoga Anuar Zain cepat sembuh, antara salah satu penyanyi lelaki Malaysia yang Ju minat huhu"💕
Copyright © 2015 Junzie || Life is a Beautiful Struggle
| Distributed By Gooyaabi Templates